Umum

Pasangan halalkan makanan dan minuman di restoran mereka bagi pelanggan yang tak mampu bayar

Gambar Facebook

“Kepada yang betul-betul tak ada duit nak makan dan minum, jangan malu jangan segan. Makan la sampai kenyang. Bagitau saya atau staff-staff saya. Kalau segan atau malu nak bagitahu, buat senyap-senyap je.”

Pemakluman itu diletakkan di restoran D’Tok Ngulu yang diusahakan oleh pasangan Arlimin Che Ayob, 41, dan isterinya, Nor Solihah Nasir, yang berusia 36 yang bermurah hati untuk menghalalkan makanan dan minuman pelanggan di restorannya yang tidak mempunyai duit yang mencukupi.

Inisiatif yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu, dikatakan didorong oleh pengalaman kehidupan yang pernah susah suatu ketika dahulu.

Tindakan pasangan pemurah itu telah tular di media sosial dengan netizen memuji tindakan pemilik restoran terbabit yang disifatkan berniaga sambil mencari saham akhirat dan bukan untuk untung semata-mata.

Walaupun kaedah dikatakan tiada keuntungan, namun bapa kepada dua anak ini yakin amal jariah yang dilakukan dalam membantu golongan memerlukan mendapat balasan setimpal daripada ALLAH.

Katanya, restoran yang diuruskan sepenuhnya oleh isterinya masih bertahan sehingga kini, selain turut merasai nikmat daripada usaha dilakukan.

Malahan, ada juga dalam kalangan mereka (pelanggan) mahu bersama untuk infaq sebahagian wang mereka untuk membantu kita meneruskan pemberian makanan secara percuma,” katanya yang memaklumkan isterinya adalah insan penguat semangat dirinya.

Arlimin bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan restoran dengan melaksanakan konsep yang sama pada masa akan datang.

Sementara itu, Nor Solihah berkata, usaha yang baik dilakukan oleh suami akan disokong dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Saya faham kerana pernah ada pengalaman susah ketika belajar, kita hargai sumbangan orang kepada kita.

“Jadi, tidak rugi apabila suami buat keputusan untuk jalankan perniagaan dengan konsep begini.

“Saya rasa benda ini sebagai amal saya, untuk akhirat saya,” katanya.

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top