Umum

PDRM peroleh notis merah Interpol untuk Jho Low, Nicky Liow

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon dan memperoleh notis merah daripada Interpol (Polis Antarabangsa) bagi Jho Low dan Nicky Liow Soon Hee.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, notis merah untuk kedua-dua individu terbabit masing-masing diperoleh pada 11 Jun 2018 dan 20 April 2021.

“Terdapat dua kategori notis merah Interpol, iaitu yang boleh dikongsi bagi paparan makluman awam dan satu lagi dihadkan untuk diakses oleh agensi-agensi penguat kuasa.

“Ibu Pejabat Interpol merupakan pihak yang akan menentukan sama ada notis merah dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguatkuasa sahaja tertakluk kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam.

“Kedua-dua notis merah dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata PDRM kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua individu berkenaan dapat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Jho Low menjadi buruan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad, manakala pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow berhubung sindiket Macau Scam.

PALING POPULAR

To Top