Polis telah menahan dua lelaki yang memandu secara berbahaya di Kilometer 268 hingga 238 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan susulan tular rakaman video kejadian itu di media sosial Ahad lalu.
Menerusi video berdurasi 1 minit 40 saat itu, sebuah kereta Audi A4 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dilihat memandu secara melulu dan berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) dan memotong di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, bertindak atas maklumat dan rakaman yang diterima, pihak Risikan Operasi daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berjaya mengesan pemilik dan pemandu kenderaan terbabit.
“Hasil siasatan mendapati suspek pertama yang memandu Audi A4 berusia 36 tahun manakala suspek kedua memandu Toyota Wish berusia 34 tahun.
“Suspek pertama telah hadir menyerah diri pada Isnin lebih kurang jam 9 malam manakala suspek kedua hadir menyerah diri pada Selasa pada jam 6.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan pemandu Audi A4 yang bekerja sebagai penarik kereta hendak menarik kereta Toyota Wish yang dikatakan mempunyai hutang tertunggak beberapa bulan.
Bagaimanapun katanya, pemandu Toyota Wish enggan berhenti dan mengakibatkan berlakunya ketidakpuasan hati dan kejar-mengejar antara kedua-dua suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya.
* Artikel asal di Sinar Harian