Umum

Pembuli jalan raya pandu Alphard miliki 56 saman ditahan

SEORANG pembuli jalan raya memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang memiliki 56 saman telah pun ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed memaklumkan tangkapan ke atas pembuli jalan raya berusia lingkungan 43 tahun itu dibuat di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Menurut beliau, pihaknya mengesahkan membuat tangkapan lebih kurang pukul 2 petang semalam terhadap pembuli jalan raya yang memandu MPV jenis Toyota Alphard secara berbahaya di Lebuhraya Karak arah Genting Sempah.

“Pemandu MPV ini telah dibawa menjalani ujian air kencing di Bahagian Narkotik IPD Gombak dan hasil ujian adalah negatif.

“Lelaki itu juga telah dibawa ke Hospital Selayang untuk diambil sampel darah bagi tujuan ujian alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis buru Alphard putih miliki 56 saman tertunggak kerana buli jalan raya

Zainal Mohamed memaklumkan, lelaki tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk mendapat perintah tahanan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

Semalam, Zainal Mohamed dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang giat memburu pemandu Toyota Alphard berwarna putih selepas aksi pemanduan berbahaya di sepanjang Kilometer (KM) 25.1 hingga KM27.5 Lebuhraya Karak arah Genting Sempah tular.

hasil semakan saman keatas kenderaan pelbagai guna (MPV) itu mendapati terdapat 56 saman lampau direkodkan yang masih belum dijelaskan.

PALING POPULAR

To Top