Umum

5,800 Pembayar Cukai Dikesan Gagal Patuh – LHDN Bongkar Pendapatan Tidak Lapor Berjumlah RM484 Juta

Gambar Hiasan

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah mengenal pasti 5,800 pembayar cukai yang gagal mematuhi kewajipan cukai selepas pelaksanaan sistem e-Invois. Berdasarkan semakan dan pemantauan ke atas transaksi yang direkodkan melalui platform MyInvois, jumlah pendapatan yang tidak dilaporkan mencecah RM484 juta, sekaligus membawa kepada kutipan hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta.

Menurut HASiL, maklumat transaksi e-Invois yang dikumpul sejak 1 Ogos 2024 telah membolehkan pihaknya mengesan individu dan syarikat yang tidak melaporkan pendapatan sebenar. Langkah ini sejajar dengan usaha memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan konsisten di bawah prinsip keadilan sistem percukaian negara.

“Pembayar cukai disarankan untuk mengemas kini rekod mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” kata kenyataan rasmi itu.

Rekod Tertinggi Dikeluarkan Melalui e-Invois

Sehingga 30 Julai 2025, lebih 413 juta e-Invois telah dikeluarkan menerusi sistem MyInvois, melibatkan lebih 83,000 pembayar cukai daripada fasa pertama hingga kelima. Fasa keempat dan kelima menyertai pelaksanaan e-Invois secara sukarela, mencerminkan penerimaan positif dalam kalangan pengguna sistem cukai digital ini.

HASiL turut mengingatkan bahawa bagi pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran, pemakaian sistem e-Invois kini diwajibkan, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Saluran Bantuan Khas Disediakan

Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dan memberikan sokongan kepada pengguna, HASiL menyediakan pelbagai saluran komunikasi, termasuk:

Sistem e-Invois yang sedang diperluas secara berperingkat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif digitalisasi perkhidmatan percukaian negara, sekaligus menyokong usaha membendung ketirisan hasil negara dan meningkatkan tahap pematuhan secara menyeluruh.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top