Buletin

Penangguhan RUU Antilompat Parti bukan alasan lambatkan pelaksanaan – Wan Junaidi

Penangguhan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti bukan satu alasan untuk melambatkan pelaksanaannya.

Sebaliknya kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia adalah proses yang rumit serta memerlukan kajian terperinci.

Jelasnya, perkara itu penting termasuk mendapat persetujuan menerusi pandangan pelbagai pihak berkaitan.

“Untuk proses ini, kita telah mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak selepas beberapa kali ditangguhkan.

“Bayangkan lapan bulan ditolak dengan usul yang pendek dan ringkas tetapi apabila dibentang kepada ahli parlimen semasa mesyuarat bersama Perdana Menteri pada 10 April banyak kritikan mengatakan undang-undang itu terlalu luas dan bimbang jika kerajaan ini bakal menyalahgunakan peruntukan pindaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Masyarakat di Hotel Grand Margherita di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut kata Wan Junaidi, pindaan yang dibuat perlu mengikut peraturan Parlimen.

“Apabila RUU telah diletakkan di bawah ‘blueprint’ ia tidak boleh lagi diubah selepas ditanda dengan titik noktah, perkataan pun tidak boleh diubah,” ujarya.

Justeru katanya, bukan sengaja untuk melewatkan pembentangan usul RUU Antilompat Parti, tetapi ia bukan perkara mudah untuk dilakukan dalam masa yang singkat.

“Bukan kita nak beri alasan, inilah penjelasannya supaya semua pihak mengetahui komitmen yang diberi kepada saya diluar jangka.

“Banyak libat urus dilakukan dengan begitu menyeluruh berjumpa dengan semua pemimpin atasan termasuk Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut memberi pandangan mengenainya,” kata Wan Junaidi.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, apabila undang-undang dilaksanakan di negeri-negeri ia perlu mendapat kebenaran Kerajaan Negeri selepas mendapat perkenan daripada ketua negeri menerusi perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bertujuan membolehkan sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan dikenakan terhadap Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sekatan menerusi undang-undang persekutuan itu ditetapkan berkait keahlian mereka dalam parti politik.

Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dengan memasukkan fasal baharu (3 (a)) ke dalam Perkara 10 (Perlembagaan Persekutuan) yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Menurut peruntukan sedia ada, fasal 3 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyekat hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) fasal (1) dan ia juga boleh dikenakan undang-undang berkaitan buruh dan pendidikan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top