Umum

Pendakwaan rayu keputusan mahkamah benar Peter gantung hukuman, sabitan untuk bertanding PRU15

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi menggantung hukuman dan sabitan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah berkata notis rayuan itu difailkan pada 5 Ogos lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 4 Okt ini,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini yang turut disertai peguam S.Devanandan yang mewakili Peter.

Peter, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 1 Ogos lepas, Hakim Azura Alwi membenarkan permohonannya selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

— Bernama

PALING POPULAR

To Top