Umum

Penduduk kampung di Hulu Langat berdepan masalah air sekian lama

Isu bekalan air bersih di Kampung Padang, Hulu Langat, bukan lagi dianggap sebagai masalah baru bagi penduduk di perkampungan itu, malah ia dikatakan sudah berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, beberapa penduduk berkata, situasi ini berpunca daripada masalah tekanan air rendah, menyebabkan air sukar disalurkan kepada kediaman yang menetap di kawasan tinggi.

Mereka berkata, keadaan ini bertambah buruk terutama pada waktu siang apabila penduduk kampung itu ingin membuka paip secara serentak, mengakibatkan air yang sampai ke rumah masing-masing menjadi terlalu perlahan.

Antara yang terjejas teruk ialah Muhammad Mukhriz Muhammad Zubir, kerana rumahnya terletak di kawasan paling tinggi yang mana tekanan tidak cukup kuat untuk menyalurkan air ke rumahnya.

Menurut pekerja kilang berusia 24 tahun itu, bekalan air di rumahnya akan terputus seawal jam 6 pagi dan keadaan hanya akan kembali pulih selepas jam 10.30 malam.

“Disebabkan situasi ini, segala urusan menggunakan air secara terus daripada paip seperti membasuh baju dan pinggan perlu dilakukan pada lewat malam,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pada masa sama, kami akan tadah air supaya boleh mandi atau untuk kecemasan.”

Bagi Mukhriz, dia bersyukur apabila rumahnya terletak bersebelahan dengan Sungai Congkak, membolehkan dia mandi ketika rumahnya tiada air terutama pada hujung minggu.

Sementara itu, Anuar Mohd Akhir yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya, memaklumkan kawasan penempatan itu pada satu ketika dulu tidak alami masalah tersebut.

Katanya, masalah ini dipercayai berlaku lebih lima tahun lalu, namun puncanya tidak dikenal pasti.

Malah, katanya, penduduk juga sudah mengadukan masalah ini kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) – sebelum diambil alih oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) – namun dimaklumkan tiada penyelesaian.

“Pada ketika itu, kami hanya dimaklumkan ini adalah masalah tekanan rendah, tetapi tiada penyelesaian,” katanya kecewa.

Justeru, Anuar berharap kerajaan Selangor akan lebih peka dengan masalah penduduk di kawasan itu dan mengambil inisiatif untuk selesaikan masalah tersebut.

Malah, katanya, isu air di situ akan menjadi salah satu kriteria bagi dirinya untuk memilih calon wakil rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kampung Padang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang mana ia mula dipertandingkan sejak 1974.

Difahamkan, DUN itu mempunyai populasi Melayu lebih 62%.

“Selangor ialah negeri yang kaya. 

“Saya tidak faham kenapa isu ini masih tidak boleh diselesaikan,” tambah Anuar.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top