Umum

Penduduk Senggarang lega pam air bantu atasi masalah banjir

Penduduk di sekitar Senggarang, di sini, menarik nafas lega dengan pemasangan pam air bergerak di Pintu Air Kuala Senggarang selepas rumah dinaiki air sejak Sabtu lepas.

Ketua Kampung Parit Permatang, Abu Bakar Raja Samad berkata, sejak Jumaat lepas penduduk resah apabila kawasan laman rumah dinaiki air memandangkan kediaman mereka berhampiran dengan laut dan sungai.

Menurut beliau lebih membimbangkan penduduk apabila pelepasan air dari empangan berhampiran dibuat ke kawasan Parit Karjo Simpang Kiri di sini yang dipercayai akan memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan itu.

“Kali ini, tidak sangka banjir masuk ke dalam rumah hingga paras 0.3 meter. Situasi ini pernah berlaku pada 2006, ditambah pula dengan kejadian air pasang, jadi kita seperti tadah sahaja limpahan air dari kawasan lain walaupun keadaan cuaca panas sejak beberapa hari.

“Syukur ada pemasangan pam ini yang banyak membantu penduduk sekali gus menyurutkan banjir terutamanya di kawasan sekitar rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Abu Bakar berkata sepanjang 17 tahun lalu, apabila hujan lebat berterusan selama dua hari, hanya laman rumah sahaja dinaiki air meskipun berhampiran sungai kerana kediaman mereka berada di kawasan yang tinggi.

“Sungai di kampung ini adalah laluan air ke laut, apabila ada pertembungan antara air pasang dan limpahan air menyebabkan banjir termenung, selain air banjir mula naik pada waktu tengah hari dan surut sedikit sebelum kembali naik semula pada waktu malam,” katanya.

Seorang penduduk Mohd Zaimi Abdullah berkata pam yang diaktifkan diharapkan dapat menurunkan paras air sekali gus membantu mempercepatkan pemulihan banjir memandangkan rumahnya yang bersebelahan Sungai Senggarang turut ditenggelami banjir sejak Sabtu lepas walaupun keadaan cuaca cerah.

Kawasan Senggarang menjadi lokasi baharu banjir di Batu Pahat selepas beberapa tempat di daerah itu antaranya Seri Medan, Yong Peng, Parit Raja, Parit Sulong dinaiki air sejak 1 Mac lepas.

Setakat 12 tengah hari semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 40,746 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,301 orang.

Semalam, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor Azren Khalil dilapor berkata sebanyak 15 pam sudah dipasang di Batu Pahat setakat ini iaitu empat pam di Pintu Air Kuala Senggarang, Parit Bintang (dua), Parit Jambul (dua) dan masing-masing satu di Parit Londang, Parit Asam Kumbang, Parit Lapis, Parit Sulong, Sungai Kajang, Parit Separap, Taman Botani di Sri Medan, yang antaranya sudah dipasang pada 2011.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top