Umum

Amir Jahari mohon maaf salah kata tegur guna lagunya

Penyanyi dan komposer, Mohamad Amirullah Jahari atau mesra disapa Amir Jahari membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berhubung isu penggunaan lagunya.

Amir menerusi ciapan di Twitter berkata, permohonan maaf itu dibuat atas cara tegurannya yang menyinggung perasaan Ahli Parlimen Masjid Tanah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap berpendirian untuk menghalang mana-mana individu menggunakan karyanya atas tujuan politik.

“Saya Mohamad Amirullah Jahari dengan rasa rendah diri dan seikhlas hati ingin memohon maaf secara terbuka kepada YB (Yang berhormat) Mas Ermieyati atas kesilapan saya memilih kata dan cara yang tidak baik dalam membuat teguran tempoh hari.

“Bagaimanapun pendirian saya tetap sama. Saya tidak membenarkan karya saya digunakan oleh sesiapa sahaja dalam konten yang mempunyai agenda politik dan perkara yang boleh memporak-perandakan,” ciapnya.

Terdahulu, Mas Ermiyati didapati menggunakan lagu tersebut sebagai lagu latar untuk hantaran video yang dimuat naiknya semasa berada di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

Mas Ermieyati kemudian memohon maaf kepada Amir kerana menggunakan lagu ciptaannya dan bertindak menurunkan semula video tersebut.

Dalam pada itu, Amir menjelaskan permohonan maaf yang dibuatnya adalah secara sukarela dan bukan atas desakan mana-mana pihak.

“Saya jelaskan, tiada surat yang dihantar, tiada orang YB yang datang, ini hanyalah cara saya memperbaiki diri, memang agak kasar cara saya menegur, tapi tetap saya menegakkan bahawa lagu saya bukan untuk agenda politik, itu sahaja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

PALING POPULAR

To Top