Umum

Pengambilan tanah pembangunan semula Sungai Baru perlu diteruskan – PKB

Pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, perlu diteruskan kerana ia telah memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 walaupun segelintir pemilik tidak bersetuju.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan sekiranya kerajaan enggan meneruskan proses pengambilan tanah berdasarkan akta tersebut, kerajaan perlu bersedia untuk menanggung semua kos kerugian pemaju dan pemilik yang bersetuju.

Menurut kenyataan itu, kerugian berkenaan meliputi RM50 juta bayaran deposit pengambilan tanah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG); RM30 juta kos penyediaan rumah transit dan rumah sewa kepada penduduk yang bersetuju sehingga rumah ganti siap dibina; kos pemindahan semula penduduk yang bersetuju pulang ke rumah asal serta kos pembaikan rumah yang telah ditinggalkan selama enam tahun.

PKB berkata berdasarkan APT 1960, tiada sebarang syarat berkaitan peratusan persetujuan pemilik tanah ditetapkan sebelum sebarang pengambilan balik tanah dilaksanakan.

“Namun, dalam program pembangunan semula di Kampung Baru, pihak kementerian telah menetapkan bahawa pembangunan semula hanya boleh dipertimbangkan sekiranya pemaju berjaya memperolehi sekurang-kurangnya nilai ambang (treshold) 50 peratus persetujuan pemilik hartanah bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan warga terlibat,” menurut kenyataan itu.

Menurut PKB, pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Sungai Baru telah diwartakan di bawah Seksyen 8 APT 1960 pada 21 Jun 2021 membabitkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sehingga hari ini, sejumlah 291 lot dan unit flat (27 lot teres dan 264 unit flat) yang mewakili 88.72 peratus telahpun bersetuju dengan projek pembangunan semula ini.

“Dalam masa yang sama, pemaju juga terus berusaha untuk berjumpa dan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik 37 lot rumah teres yang tidak bersetuju, namun tidak mendapat kerjasama,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dilaporkan telah menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada barisan peguam bagi mencabar pewartaan pengambilalihan tanah penduduk Kampung Sungai Baru Kampung Baru, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Zulfakar Wahid memohon sesi pendengaran kedua pengambilan tanah yang ditangguhkan sejak Disember tahun lepas diteruskan agar penantian lebih lima tahun untuk kembali tinggal di kampung warisan itu segera berakhir.

Zulfakar berkata tidak adil untuk ‘melayan’ suara minoriti yang hanya mewakili 11 peratus dan menyebabkan pihaknya menunggu lebih lama untuk berpindah ke rumah baharu sedangkan persetujuan majoriti hampir 89 peratus telah dicapai.

“Kami yang bersetuju ni dah duduk di rumah transit (di Residensi Kerinchi) lebih lima tahun, jadi kami rasa tak patut sebab 37 unit tak bersetuju, 291 unit terpaksa menunggu, kenapa nak layan 37 unit ni?,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Ritzy Gloss Sdn Bhd yang merupakan pemaju projek berkenaan Abdul Hadi Ahmad menafikan dakwaan tawaran nilai pampasan tidak setimpal dan tidak memberi pemilik ruang untuk berunding.

“Tiada isu nak menganiaya pemilik malah sebenarnya jika tanah diambil menerusi pengambilan tanah hanya dapat lima peratus (nilai pampasan) sahaja, tetapi pemaju bermurah hati menawarkan tawaran yang sama seperti yang mereka setuju,” katanya dan menegaskan semua prosedur telah mengikut aspek perundangan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top