Umum

Pengampunan diraja: Anwar kata Agong hubunginya, tak sama macam Najib

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Beliau mendakwa dihubungi baginda pada malam kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dan menawarkan pengampunan diraja terhadap dirinya.

“Hari kami (PH) menang, malam itu Yang di-Pertuan Agong hubungi saya untuk beritahu, baginda akan guna kuasanya untuk dapatkan pengampunan (diraja) bagi saya kerana yakin apa yang saya lalui tidak adil,” katanya pada satu acara Pakatan Harapan (PH) di Pahang, malam tadi, menurut laporan FMT.

Beliau berkata demikian ketika wujud desas-desus mengatakan beliau tidak sesuai menjadi calon perdana menteri selepas menerima pengampunan diraja.

“Saya bukan Najib,” katanya yang merujuk kepada petisyen pengampunan diraja yang difailkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 September lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000 beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 sebaik PH mentadbir negara.

Sebaik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar dilaporkan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana melancarkan proses pembebasan beliau.

Sebelum ini, Bernama turut melaporkan Dr Mahathir berkata PH akan mohon pengampunan diraja untuk Anwar.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top