Umum

Pengarah jabatan antara ditahan kes rasuah jutaan ringgit

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki terlibat memberi dan menerima rasuah bernilai jutaan ringgit.

Menurut laporan di Kosmo, ia termasuk dalam bentuk kenderaan dan kediaman.

Turut ditahan ialah dua penjawat awam selain pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah.

Menurut sumber dalam laporan itu, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50an itu dipercayai ditahan sekitar jam 7.30 malam tadi di pejabat SPRM Sarawak ketika diminta hadir memberikan keterangan.

Suspek utama disyaki menerima suapan sejak 2018 hingga 2021 daripada pemilik syarikat sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan dua projek membabitkan bekalan air yang berjumlah anggaran RM44.4 juta.

“Manakala pengurus pelaburan amanah pula ditangkap kerana disyaki menerima bayaran wang rasuah dan kediaman bagi pihak suspek utama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai dilaporkan telah mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak esok pagi untuk permohonan reman.

 

 

Sumber Kosmo

PALING POPULAR

To Top