Umum

Penghantar makanan disyaki memiliki kad kuasa Polis buatan sendiri ditahan

Gambar Hiasan

Seorang penghantar makanan ditahan polis kerana memiliki kad kuasa polis yang disyaki palsu di Taman Melawati, Ampang hari Sabtu.

Dilaporkan media, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira 11.15 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Melawati yang sedang menjalankan tugas rondaan.

Menurut Ketua Polis Ampang Jaya, Azam Ismail, suspek diperiksa selepas berkelakuan mencurigakan sebelum anggota polis menemui kad kuasa polis berwarna kuning dan biru tertera tulisan ‘Polis Diraja Malaysia’ dalam dompet miliknya.

Azam mendedahkan, soal siasat mendapati suspek gagal memberi alasan bagaimana dia boleh memiliki kad kuasa polis itu secara sah.

“Polis mengesyaki kad kuasa itu adalah palsu dan dibuat sendiri.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Azam berkata, polis masih menyiasat motif suspek memiliki kad kuasa berkenaan dan pihaknya belum ada menerima sebarang laporan polis berkait kes penyamaran polis membabitkan suspek setakat ini.

“Suspek kini direman empat hari sehingga 6 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu memiliki kad kuasa polis.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda maksimum RM500 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

PALING POPULAR

To Top