Umum

Penguatkuasa MPBP cedera diserang semasa mengeluarkan kompaun

Gambar Facebook

Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan dakwaan menghalang anggota penguatkuasaan yang mengeluarkan kompaun terhadapnya atas kesalahan parkir di Jalan Flora, Taman Flora di Batu Pahat pada hari Rabu.

Dilaporkan media, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah telah menyatakan pihaknya menerima aduan daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) sekitar jam 3.50 petang.

Kejadian itu yang telah tular di media sosial dikatakan berlaku pada jam 11 pagi semasa penguatkuasa berkenaan sedang mengambil tindakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki kupon parkir semasa meletak kenderaan.

Penguatkuasa itu kemudian diserang dan dihalang daripada mengeluarkan kompaun oleh lelaki yang berusia 33 tahun tersebut.

Beliau berkata, penguatkuasa berkenaan juga ditolak dan terjatuh atas motosikalnya, bagaimanapun pergaduhan tersebut dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, kedua-dua pihak mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Kes disiasat di bawah 186 dan 153 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Polis menasihatkan semua pihak mematuhi peraturan jalan raya serta tidak beremosi dalam apa juga keadaan sehingga membabitkan diri dalam kesalahan jenayah.

“Orang ramai perlu menghormati tindakan pihak penguat kuasa undang-undang dalam menjalankan tugasnya,” katanya.

PALING POPULAR

To Top