Umum

Pengunjung kuil bantu wanita bersalin dalam kenderaan

Seorang wanita mengharungi detik cemas apabila terpaksa melahirkan seorang bayi perempuan di dalam kenderaan pacuan empat roda berhampiran Kuil Sri Subramaniya Swami, Batu Caves pada pagi Selasa.

Bagaimanapun, wanita berkenaan sempat dibantu beberapa individu yang berada berdekatan kuil itu bagi meraikan Thaipusam.

Peristiwa itu dikongsikan seorang wartawan, LK Savantharaja menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

“Tadi, saya dan beberapa orang datang untuk bersembahyang di Kuil Sri Subramaniya Batu Caves.

“Ternampak seorang kakak menjerit meminta tolong di dalam sebuah kereta (di luar kuil), terus berlari menghampiri kereta tersebut.

“Dia kelihatan mahu bersalin di dalam keretanya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Melihat situasi cemas itu, Savantharaja berkata, dia dan beberapa beberapa pengunjung wanita yang berada di kawasan berdekatan segera menutup cermin kenderaan itu dengan pakaian (vesthi).

Savantharaja berkata, dia turut berasa sangat gembira melihat wanita itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan sekitar jam 7.24 pagi tadi.

“Kakak selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik (masa sekitar 7.24 pagi).

“Saya sangat gembira dan sempat mencari pisau untuk memotong tali pusat bayi tersebut.

“Semua yang datang menghulurkan bantuan kepada ibu dan bayi berkenaan,” katanya.

Tulisnya lagi, ambulans datang sejurus selepas bayi itu dilahirkan sebelum bergegas membawa wanita berkenaan ke hospital.

“Ambulans sampai tepat selepas bayi keluar. Sebelum ke hospital, saya bergambar dengan ayah bayi ini (untuk kenangan),” tulisnya.

*Berita asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top