Selebriti

‘Dia stabil, masih dalam jagaan pakar’ – Beto Kusyairy sahkan Azhan Rani terlibat nahas motosikal

PELAKON Beto Kusyairy mengesahkan rakan baiknya, Azhan Rani terlibat dalam kemalangan motosikal pada Isnin.

Menerusi hantaran di Instagram, Beto memaklumkan keadaan Azhan kini stabil namun masih dalam jagaan pakar.

“Amanah dari sahabatku Azhan Rani, dukacita ingin menyampaikan pada semua yang beliau telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengah hari semalam (Isnin).

“Alhamdulillah keadaannya stabil dan masih dalam jagaan pakar.

“Pada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, beliau mohon maaf kerana tak dapat nak jawab segala panggilan atau text untuk sementara waktu ni.

“Namun beliau tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya.

“Sama-sama kita doakan beliau agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya.

Tambah Beto, Azhan mahu memastikan keadaan dirinya betul-betul sudah stabil sebelum menjawab sebarang pertanyaan.

“Tidak dapat dipastikan apakah jenis rawatan yang dia akan lalui pada pagi ini, sehingga sekarang dia masih dalam pemantauan.

“Justeru, dia mahu memastikan keadaan dirinya stabil dan merancang untuk langkah seterusnya selepas ini,” ujarnya.

Kali terakhir Azhan mengemas kini akaun media sosialnya sekitar dua hari lalu dan selepas dimaklumkan keadaannya, hantaran terakhir di Instagram mula dihujani dengan komen dan doa dari peminat.

*Artikel asal di portal Gempak

PALING POPULAR

To Top