Umum

Peningkatan jumlah kes COVID, KKM akan keluarkan arahan dos penggalak vaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 susulan peningkatan kes baharu yang dilaporkan kebelakangan ini di seluruh negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.

“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluarkan arahan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM di sini pada Khamis.

Katanya, bekalan vaksin sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dalam usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

Terdahulu KKM pada Rabu memaklumkan bilangan jangkitan Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Ia menyaksikan 12,757 kes direkodkan berbanding 2,796 pada ME 48.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Kabinet turut dimaklumkan mengenai situasi terkini jangkitan Covid-19 dalam mesyuarat pada Rabu.

“Kementerian sedar mengenai peningkatan sehingga lebih 12,000 kes mutakhir ini dan wajar untuk kita beri perhatian,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan angka tersebut termasuklah cuaca dan pergerakan serta tidak memakai pelitup muka tambahan pula di hujung tahun ini musim cuti sekolah.

Ditanya mengenai sama ada kementerian merancang untuk melaksanakan saringan lebih ketat di pintu masuk negara, beliau berkata, ia akan dipertimbangkan.

“KKM mempunyai pelan tindakan. Sekiranya kriteria dipenuhi, kita akan mengaktifkan segera langkah intervasi dan mitigasi yang lebih sesuai.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top