Penjaga sebuah pusat jagaan anak yatim di Ipoh ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik lelaki dalam kejadian antara November 2020 hingga April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, penahanan suspek berusia 35 tahun dibuat hasil maklumat daripada bapa saudara dua penghuni pusat jagaan berusia 10 dan 13 tahun itu selepas curiga dengan perubahan sikap dan emosi mangsa.
Menurutnya, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa berusia 45 tahun, dua beradik itu mendakwa pertama kali dicabul suspek ketika mereka bersama dua lagi rakan diajak bercuti ke Cameron Highlands selama sebulan pada 1 November lalu.
Katanya, bapa saudara mangsa turut curiga apabila diberitahu oleh penjaga lain di pusat itu pada 11 April lalu bahawa anak saudaranya tidak berada di premis itu, sebaliknya dibawa oleh suspek ke rumah sewa suspek tanpa pengetahuannya.
“Bapa saudara mangsa kemudian berjumpa dengan suspek untuk kepastian terhadap ketidakjujurannya kerana membawa anak saudaranya keluar dari kawasan pusat jagaan itu.
“Suspek turut menghasut mangsa dengan menyatakan penjaga lain yang bersalah kerana melakukan percampuran antara (penghuni) lelaki dan perempuan, memandangkan kedua-dua mangsa mengikuti pembelajaran tahfiz,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anuar berkata, selain mencabul dua beradik itu, suspek turut melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap salah seorang mangsa di beberapa lokasi berbeza.
Menurutnya, kedua-dua mangsa hanya menceritakan perbuatan suspek itu kepada bapa saudara mereka itu yang dipanggil ‘ayah’ berusia 45 tahun termasuk mendakwa cubaan suspek melakukan amang seksual fizikal.
“Kedua-dua mangsa dibawa bertemu Pakar Pediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Kataya, suspek yang ditahan pada 28 Mei lalu kini disambung reman sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.