Umum

Penjawat awam Johor terima bantuan khas kewangan 2 bulan gaji

Gambar Facebook Johor

Kerajaan Johor mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada seramai kira-kira 13,400 penjawat awam di negeri Johor.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada hari Khamis.

Menurutnya, pemberian bantuan khas kewangan tersebut turut diberikan kepada kakitangan kerajaan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

“Alhamdulillah prestasi hasil kerajaan Johor telah mencapai sasaran selain daripada membantu rakyat, sebagai tanda penghargaan penjawat awam Johor, kita mengambil pendekatan untuk memberikan insentif berdasarkan pencapaian sebenar.

“Semoga bantuan ini menjadi pembakar semangat dan pemangkin motivasi agar penjawat-penjawat awam terus berkhidmat dan berbakti dengan cemerlang serta sentiasa memberikan yang terbaik kepada Bangsa Johor,” ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan Johor dilaporkan mengumumkan bantuan khas kewangan berbentuk sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam dan penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji di negeri ini.

Katanya, bantuan khas kewangan berkenaan akan turut diterima penjawat awam agensi kerajaan pusat yang dibayar negeri termasuk juga guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta guru Tadika Islam Johor (TAJ)

PALING POPULAR

To Top