Umum

Penjenayah cuba rasuah polis RM4 juta

Seorang lelaki yang ditangkap kerana cuba mencuri beg tangan seorang wanita dituduh mahu memberi rasuah sebanyak AS$1 juta (RM4.3 juta) kepada anggota polis yang menangkapnya di Davenport baru-baru ini.

Pada mulanya, lelaki itu, Ricardo Esparza, 49, mengikut wanita itu menyusuri lorong di bandar raya tersebut di Amerika Syarikat (AS) sejurus selepas jam 8 malam, menurut dokumen penahanan yang diperoleh oleh akhbar The Waterloo-Cedar Falls Courier.

Apabila wanita itu menoleh ke arahnya, dia merampas beg tangan yang tergantung di bahunya.

Semasa Esparza cuba merampas beg tangan itu, dia menumbuk muka wanita tersebut, kata polis.

Mangsa, yang tidak cedera kemudian menghubungi polis yang menemui Esparza tidak jauh dari lorong itu, kata laporan itu.

Suspek kemudian ditangkap polis.

Semasa berada di belakang kereta polis, dia menawarkan kepada anggota polis yang menangkapnya sebanyak AS$1 juta untuk membebaskannya.

Esparza berkata, dia boleh memindahkan wang itu terus ke dalam akaun bank atau memberikannya secara tunai kepada anggota-anggota polis yang menangkapnya.

Dia yang ditahan dengan bon tunai sebanyak AS$10,000 (RM43,890) di Penjara Scott County akan dibicarakan pada 27 Mei di Mahkamah Daerah Scott.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top