Umum

Penunggang maut, kemalangan motosikal, treler di Lebuhraya PLUS

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 386.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Ipoh.

Menurutnya, motosikal mangsa disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di bahagian lorong tengah terlebih dahulu.

“Kemudian datang lori treler kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun yang juga dari arah sama, cuba mengelak dari terlanggar mangsa dan telah terbabas masuk ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, keadaan cuaca hujan dan lalu lintas bergerak perlahan.

Menurutnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian COVID-19.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PALING POPULAR

To Top