Umum

Penunggang motosikal maut akibat leka saksi nahas di seberang jalan

Seorang pekerja kilang maut dalam nahas di Kilometer 76.1 Lebuh Raya Utara Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa Muhammad Fazli Mohamad Shamsudin, 29, menunggang motosikal berseorangan dari arah Tikam Batu ke Alor Setar.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tidak nampak kenderaan bergerak perlahan di hadapan kerana menyaksikan satu lagi kemalangan dari arah seberang jalan.

“Mangsa yang gagal membrek melanggar bahagian belakang kereta di hadapan.

“Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan mangsa terpelanting dan jatuh ke sebelah kiri jalan.

“Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

PALING POPULAR

To Top