Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) melancarkan portal ECODOOR.MY, portal yang pertama di Malaysia khusus bagi mempromosikan industri agropelancongan.
Menurut Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, portal itu mampu menghimpunkan kira-kira 200 pengusaha agropelancongan.
Tambahnya lagi, portal itu dapat mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di Perak serta memudahkan pelawat mendapatkan pakej-pakej yang menarik.
“Menerusi pelancaran portal ini, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan kesedaran pelancong dalam dan luar negeri terhadap potensi agropelancongan di Perak, pada masa sama mencapai pertumbuhan yang signifikan dalam industri ini,” katanya pada sidang media pada hari Jumaat.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC Datuk Yahanis Yahya yang turut hadir berkata, portal berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosi produk secara dalam talian, dan mampu menjangkau ke pasaran yang lebih luas, khususnya pelancong luar negara.
Pihaknya menyasarkan 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini, berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsung Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban baru-baru ini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak dalam usaha mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak, selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya selain menerangkan pihaknya turut menyasarkan penyertaan pemain industri seluruh negara, seperti beberapa portal penginapan yang ada.
Sempena pelancaran portal ‘ecodoor.my’ dan minggu cuti sekolah, diskaun 50 peratus diberikan kepada 50 orang terawal bagi aktiviti white water rafting, geopark adventure dan horseback ride di Selama, Gopeng dan Ulu Piah.