Umum

Suruhanjaya Gig dibentang di Parlimen Julai ini

Gambar Facebook

Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkaitan Suruhanjaya Gig di Parlimen pada Julai, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah membentangkan rang undang-undang berkenaan, selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

Menurut beliau, golongan belia meminta agar diadakan suruhanjaya ini kerana terdapat lebih 100,000 anak muda yang bekerja dalam sektor ekonomi gig ini.

“Kerajaan terus (rangka) dan kita telah siapkan undang-undang (Suruhanjaya Gig) dan insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang, dan bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tapi kita laksanakan (permintaan belia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, lapor Bernama.

Anwar, ketika berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya Mac lalu, mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM3 juta kepada Majlis Belia Malaysia, bagi melaksanakan program dan pengurusan kelab-kelab belia seluruh negara.

“Dan untuk Rakan Muda yang menjadi keutamaan, ditambah oleh Kementerian Belia dan program belia mesti diberikan keutamaan dan dukungan, jadi saya setuju menyerahkan ini kepada Hannah, supaya kita lengkapkan menjadi RM10 juta tahun ini,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top