Umum

Percubaan seludup 700kg daun ketum ke Thailand dipatahkan

Gambar ATM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menumpaskan percubaan seludup 700kg daun ketum (anggaran nilai lebih RM56,000) ke Thailand di kawasan sempadan negara di Padang Terap, Kedah.

Dilaporkan media, Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan menyatakan daun ketum itu dirampas dalam sebuah pacuan empat roda di kawasan hutan berhampiran sempadan pada 6.30 pagi semalam.

“Pasukan menemukan Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil siasatan mendapati 70 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 700kg dengan anggaran nilai sebanyak RM56,000 berada di dalam kenderaan itu,” katanya menurut Harian Metro.

Semua bungkusan dan kenderaan itu dengan anggaran nilai keseluruhan RM81,000 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

 

 

PALING POPULAR

To Top