Umum

Peroleh maklumat baharu kes REE, SPRM tangguh panggil Sanusi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh keterangan baharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, merujuk kepada maklumat atau petunjuk baharu yang diterima itu, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dan menyiasat maklumat terbaharu tersebut bagi menyokong siasatan sedia ada.

“Ada yang mempersoalkan kenapa SPRM masih tidak memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu REE ini.

“Pada masa ini, SPRM masih menangguhkan tindakan memanggil Sanusi bagi mengambil keterangan percakapan kerana maklumat baharu yang diperoleh.

“Kita akan melihat dan meneliti sepenuhnya keterangan atau maklumat baharu ini, sebelum tindakan selanjutnya dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perbarisan tamat latihan kursus asas pegawai SPRM Siri 27 (Penguasa P41) di Padang Kawad Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dekat sini.

Sementara itu ditanya mengenai laporan diterima SPRM sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung pemberian berunsur rasuah.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top