Politik

Perpecahan dalaman umno bakal cetus pilihan raya negeri Melaka?

Krisis politik di Melaka memberi gambaran berlaku kemelut yang besar diperingkat pusat apabila kepimpinan kerajaan Melaka yang diketuai UMNO, mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

Cadangan itu dibuat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengikut perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.

Selain itu, Ab Rauf berkata “UMNO Melaka akan sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika itu diputuskan Mohd Ali.”

Katanya, barisan kepimpinan parti bersama-sama Barisan Nasional (BN) negeri komited mempertahankan kerajaan serta negeri itu.

Keputusan itu, disokong kuat oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Mohd Tawfik Yaakub dengan berpadangan beberapa formula perlu dilaksanakan bagi memastikan kemelut sebegitu tidak berulang.

“Bukan sahaja dua, lebih daripada dua ekor ‘singa’ yang ada di negeri Melaka. Ini yang perlu diselesaikan dengan kadar segera.”Kita tidak mahu perpecahan dalaman UMNO Melaka merebak ke negeri-negeri lain dan akhirnya menyebabkan sebuah kerajaan yang dikatakan stabil akhirnya terpaksa tumbang kerana penarikan diri daripada ADUN UMNO itu sendiri daripada kerajaan Melaka,” katanya

Sementara itu, Ab Rauf berkata, keahlian dua ADUN daripada UMNO gugur secara automatik selepas mereka secara terbuka bersama parti pembangkang menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Apabila mereka menyatakan pada sidang media secara terbuka bersama dengan parti pembangkang yang tidak bersama membentuk kerajaan, hak sebagai ahli UMNO gugur secara automatik,” katanya.

Ab Rauf turut menyifatkan empat ADUN yang beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH) seperti serpihan duri yang keluar daripada daging.

Katanya, ia terbukti apabila kepercayaan yang diberi kepada mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada Mac tahun lalu dibalas dengan sesuatu yang mengejutkan.

“Sepanjang memberi kepercayaan kepada Sulaiman untuk menguruskan kerajaan negeri tahun lalu, saya tidak memilih sama ada mereka duri atau daging.

“Kalau mereka nak jadi duri, terserah tetapi hari ini terbukti mereka benar-benar sudah menjadi duri kepada daging yang dihidangkan kepada mereka,” katanya

Cadangan pembubaran DUN dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

 

PALING POPULAR

To Top