Umum

Pertubuhan majikan kecewa ‘tiada tindakan konkrit’ Rafizi untuk perbaiki ekonomi

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) kecewa dengan prestasi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, mengingatkan beliau tentang tugasnya untuk menambah baik ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. 

“Setakat ini MEF masih belum melihat sebarang rancangan konkrit daripada menteri ekonomi yang benar-benar tertumpu dan diformalkan yang mampu menambah baik ekonomi negara seterusnya meningkatkan taraf hidup negara dan rakyatnya,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan sebagai respons keras kepada pengumuman Rafizi baru-baru ini mengenai kenaikan gaji.

MEF juga berkata persekutuan itu “terkejut bahawa menteri ekonomi mengambil tindakan terhadap sesuatu di luar bidang kuasanya. 

“Ini sepatutnya di bawah bidang kuasa menteri sumber manusia,” tambah Syed Hussain. 

Ia berlaku selepas Rafizi mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan model gaji progresif yang mungkin mendorong kepada kenaikan gaji tahunan secara mandatori.

Bagaimanapun menurut MEF, gaji yang lebih tinggi terikat kepada prestasi dan produktiviti, manakala pertambahan kos berkaitan didorong oleh peningkatan hasil dan keuntungan.

“Mewajibkan kenaikan gaji tahunan bukan sebahagian daripada persamaan model gaji progresif,” katanya. 

MEF berkata pemain industri tidak terlibat dalam sebarang perbincangan terperinci mengenai rancangan itu. 

Syed Hussain mengingatkan Rafizi bahawa harga buruh ditentukan oleh kuasa pasaran.

Katanya, industri di seluruh dunia sentiasa bergantung kepada data pasaran dalam menentukan pampasan dan faedah. 

“Kerajaan tidak seharusnya menentukan apa yang patut dilakukan dari segi pemberian ganjaran kepada pekerja,” tambahnya. 

“Malaysia adalah ekonomi terbuka, bukan ekonomi milik kerajaan. Ini adalah faktor yang sangat penting untuk menteri ekonomi memahami dan mengambil kira, dan (beliau) tidak sepatutnya mewajibkan kenaikan gaji di bawah model gaji progresif.”

Beliau memberi amaran Malaysia akan berada dalam “keadaan serius” jika kerajaan melibatkan diri dalam menentukan apa yang mereka patut bayar dan lakukan. 

“Jika negara menerima pakai saranan Rafizi, kita akan kehilangan lebih banyak syarikat multinasional dan tidak lagi dapat menarik pelaburan baharu, sama ada daripada FDI (pelaburan langsung asing) atau pelabur tempatan,” katanya.

Beliau berkata jika kerajaan berhasrat untuk mewajibkan kenaikan gaji, ia harus memberi geran atau peruntukan sebagai “tambah nilai” bagi memenuhi pendapatan yang ditentukan.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top