Umum

Usaha UMNO terhadap Najib masih berjalan – Zahid

Usaha UMNO ke arah pembebasan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dipenjarakan masih terus berjalan.

Perkara tersebut ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menolak dakwaan penyokong Najib akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) disebabkan kecewa terhadap layanan UMNO terhadap ‘bossku’.

“Ketika bertemu Najib sebelum ini pun perkara itu dinyatakan kepada saya supaya kita jangan terjebak dengan permainan pihak luar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, usaha berkenaan tidak perlu dijelaskan kepada umum.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz bahawa penyokong Najib akan beralih kepada PN pada PRN kelak.

Tindakan tersebut dibuat kerana keadilan terhadap Najib sehingga kini dikatakan masih tidak ditegakkan, selain didakwa dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin memberitahu sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.

Dalam situasi itu, beliau menjangkakan, ada sebilangan penyokong bekas Perdana Menteri itu yang tidak keluar mengundi ataupun memberikan undi kepada pihak lawan pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Beliau berkaya, ia sekali gus mempunyai kesan yang mungkin signifikan dari segi sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN.

Pada April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan daripada 191 bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top