KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperluas skop kerjasama dengan pengamal perubatan swasta bagi mengatasi isu gangguan emosi dan kelesuan melampau yang dialami petugas kesihatan awam.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, berkata antara kerjasama yang boleh dijalin termasuklah pihak swasta meminjamkan tenaga kerja buat sementara bagi menggantikan kakitangan kesihatan kerajaan yang perlu bercuti.
Faktor utama gangguan emosi dialami petugas kesihatan ketika ini adalah kerana mental dan fizikal mereka sudah terlalu penat, dan hanya rehat mencukupi dapat membantu memulihkan mereka.
“Ketika ini, mereka sudah penat mental dan fizikal. Usaha untuk beri kaunseling bagus, tapi itu bukan apa yang mereka perlukan buat masa ini.
“Hierarki keperluan mereka ketika ini adalah rehat. Memang saya setuju mereka diberi cuti tapi pada masa sama siapa akan gantikan tempat mereka jika bercuti.
“Untuk atasi perkara ini, KKM mungkin boleh menggerakkan bantuan daripada pihak swasta untuk membantu,” katanya kepada BH, hari ini.
Semelam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata KKM sedang mempertimbang memberi cuti tambahan kepada petugas kesihatan, serta menggerakkan unit psikologi bagi menangani isu gangguan emosi dialami mereka ketika membendung wabak COVID-19.
Ia susulan laporan BH yang mendedahkan lebih 70,000 petugas kesihatan dikesan mengalami pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, selain kelesuan melampau selepas berdepan COVID-19 sejak Januari tahun lalu.
Ada kakitangan kesihatan yang ditemu bual BH, mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu ‘dilepaskan’ setiap hari.
Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) pula mendedahkan ada petugas kesihatan yang terdesak akibat gangguan emosi disebabkan pandemik COVID-19, mengambil dadah dan pil tidur bagi mengurangkan tekanan, selain mereka berisiko berdepan gangguan stres pasca trauma (PTSD), yang boleh membawa kepada hasrat bunuh diri.
Dr Hazli berkata, KKM juga boleh mengerah kakitangan pengurusan berlatar belakang perubatan daripada semua peringkat, untuk membantu menggantikan petugas yang memerlukan cuti rehat buat sementara waktu.
Kementerian lain juga boleh membantu dengan menyumbang tenaga kerja atau kepakaran berkaitan yang bersesuaian untuk meringankan beban tugas KKM, selain duduk semeja merangka pelan pasca pandemik.
Selain itu, katanya, KKM perlu mengubah budaya pentadbiran yang bersifat menghukum, sebaliknya lebih terbuka untuk mendengar pandangan dan teguran kakitangan bawahan, khususnya dalam menangani isu petugas yang mengambil bahan larangan bagi mengurangkan tekanan.
“Dalam tempoh pandemik, pentadbiran KKM perlu sedia terima teguran petugas di lapangan kerana mereka yang akan tanggung beban daripada kelemahan dasar yang diputuskan pihak pengurusan.
“KKM juga tidak boleh menghukum petugas kesihatan yang mengambil dadah atau pil tidur itu, mengambil pendekatan lebih berhemah untuk membantu mereka mengatasi gangguan emosi dialami,” kataya.
Selain itu, Dr Hazli berpandangan bentuk pertolongan yang digariskan KKM perlu lebih menyeluruh dan tidak tertumpu pada psikologi semata-mata, bahkan perlu melihat aspek kehidupan petugas secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, petugas yang penat di tempat kerja mungkin perlu menjaga anak pula di rumah, sekali gus tidak akan mendapat rehat secukupnya.
“Perkara ini perlu dipertimbangkan KKM, khususnya bagi petugas kesihatan di negeri yang merekodkan peningkatan beban kerja yang tinggi akibat lonjakan jumlah pesakit COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Hazli berkata, isu gangguan emosi dialami petugas kesihatan akibat pandemik, turut mendedahkan kelemahan ketara apabila jumlah pakar psikiatri di hospital kerajaan sangat tidak mencukupi untuk menangani isu berkenaan.
“KKM ada sekitar 400 lebih pakar psikiatri seluruh negara, dengan nisbah 1.1 pakar psikiatri untuk 100,000 penduduk. Jumlah ini jauh daripada nisbah yang disarankan.
“Kita sebenarnya perlukan 3,000 pakar psikiatri, dengan nisbah seorang pakar untuk 10,000 penduduk. Ini perlu diatasi pada masa depan dengan menyediakan peruntukan khusus untuk menyelesaikan isu kesihatan mental di Malaysia,” katanya.