Perusahaan Kecil dan Sederhana menghadapi kadar keuntungan kecil dan kekangan aliran tunai walaupun terdapat pemulihan ekonomi secara amnya, menurut sebuah persatuan yang mewakili lebih 20,000 PKS di seluruh negara.
Kenyataan itu dibuat berdasarkan tinjauan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) yang mendapati 29% responden mempunyai rezab tunai kurang daripada 2 bulan meskipun 60% responden menyatakan peningkatan jualan.
Tinjauan pertengahan tahun SAMENTA dijalankan pada bulan September, melibatkan lebih daripada 500 PKS pelbagai saiz dan industri.
Selain margin keuntungan yang tipis, PKS juga melaporkan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman.
Dalam 35% responden menyatakan kesukaran memperoleh pembiayaan adalah kerana cagaran yang terhad, proses permohonan yang rumit, kadar faedah yang tinggi dan kekurangan sejarah kredit
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, cabaran utama kepada PKS ialah margin perniagaan yang rendah disebabkan kebergantungan kepada tenaga buruh, peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan automasi.
Ini akan menjejaskan produktiviti dan keuntungan.
Ng menekankan bahawa syarikat PKS memerlukan intervensi segera daripada kerajaan untuk meningkatkan daya saing dan memperkasakan nilai rantaian sekaligus meningkatkan produktiviti.
“Bantuan dalam bentuk geran kecil sudah terbukti kurang efektif dan hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana ia mengakibatkan kebergantungan kepada bantuan geran, tatkala margin keuntungan semakin merosot,” ujar beliau.
Selain margin keuntungan rendah dan kekangan aliran tunai, tinjauan Samenta juga mendapati antara cabaran utama PKS adalah kos input tinggi, permintaan domestik yang lemah, nilai ringgit yang merosot, kekurangan pekerja mahir dan peningkatan penguatkuasaan kawal selia.
Seperti jangkaan, isu-isu penting seperti amalan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (ESG), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak menjadi prioriti kepada PKS yang sedang berusaha untuk pastikan kelangsungan perniagaan.
Salah satu kekangan adalah definisi PKS, yang menetapkan had jualan tahunan RM50 juta dan RM20 juta masing-masing untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah terlalu rendah.
“Pekilang dengan angka jualan RM100 juta setahun berkemungkinan tinggi menghadapi cabaran yang sama seperti pekilang pada tahap RM50 juta.
“Sebagai perbandingan, di Singapura, PKS didefinisikan sebagai sebarang perniagaan dengan jualan di bawah S$100 juta,” jelasnya
Samenta menyeru agar kerajaan dapat mengekalkan atau menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memandangkan nilai ringgit yang rendah dan untuk mengambil langkah lebih drastik bagi merancakkan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Ng berkata, “kita tidak seharusnya mengelak dari membuat keputusan tegas walaupun mungkin sensitif dari segi politik seperti memperkenalkan semula cukai perbelanjaan meluas, pembaharuan dan rasionalisasi subsidi dan pencen serta menghentikan ketirisan dalam sektor awam.”
Usaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dalam golongan pertengahan perlu ditambah bagi merangsang perbelanjaan domestik.
“Ini adalah seruan bantuan dari PKS”
“Kita tidak boleh mengabaikan seruan ini memandangakan PKS telah menyokong anjuran kerajaan dalam isu gaji minima pekerja dan mengekalkan tenga kerja sewaktu pandemik,” katanya.