Umum

PN akan calonkan Shahidan di Arau

Sinar Harian hari ini melaporkan yang Perikatan Nasional (PN) Perlis mengesahkan kekosongan nama calon kerusi Parlimen Arau adalah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding mewakili pakatan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum dimuktamadkan lagi.

“Ya, betul ada rundingan dengan beliau (Shahidan). Semua bermula apabila kami berjumpa secara tidak sengaja di lapangan terbang pada Isnin lepas.

“Kami mempunyai hubungan baik selama ini dan perkara ini (tawaran menjadi calon PN) tercetus selepas terdapat ura-ura beliau mungkin tidak tercalon pada PRU15.

“Di peringkat negeri, kami belum tahu lagi keputusannya kerana perbincangan masih berjalan di ibu pejabat. Saya masih menunggu keputusan ibu pejabat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat bagi bertanding di kerusi Parlimen Arau pada PRU15.

“Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik Pas. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

“Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab beliau adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top