Perikatan Nasional (PN) merancang mengadakan Program Jualan Prihatin Rakyat di seluruh negara yang menawarkan harga murah barang-barang keperluan utama, khususnya di kawasan di mana terdapat ramai penduduk yang susah.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program berkenaan adalah satu tindak balas gabungan itu terhadap masalah besar yang dihadapi rakyat sekarang ini, terutama mereka yang terkesan selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya beliau pernah menyatakan bahawa peratusan penduduk yang jatuh kepada kategori B40 sekarang sudah menjadi B60, sekali gus menunjukkan bahawa pada waktu pandemik ramai yang bertambah susah.
“Selepas pandemik Covid ramai yang jatuh miskin… tak ada pendapatan yang cukup, tak ada pekerjaan, kos barang-barang yang dah meningkat. Jadi kita sedar tentang perkara itu walaupun usaha ini tidaklah sebesar mana… tapi ini adalah program yang kedua atau ketiga yang telah pun anjur di Pagoh.
“Dan ini kita akan teruskan… tapi kita buat di lain-lain tempat. Tujuannya adalah untuk menawarkan jualan bahan-bahan yang kita telah edarkan dengan harga yang amat murah. Jadi ini program subsidi. Kerana walaupun kos hanya bagi mereka dua puluh ringgit. Tapi kita terpaksa bagi sedikit bantuan supaya tak membebankan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada Program Jualan Prihatin Rakyat Parlimen Pagoh hari ini (10 September 2022) yang dihadiri lebih 1,000 pengguna.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengalu-alukan sekiranya ada badan korporat yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu untuk menyediakan barang-barang keperluan kepada penduduk dengan harga yang lebih murah daripada biasa.
“Kita buat program seperti ini. Jadi ini boleh kita lanjutkan ke seluruh negara, terutama kawasan-kawasan yang kita tahu terdapat penduduk yang susah,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata program yang digerakkan oleh PN ini tidak mencukupi sekiranya kerajaan tidak bertindak secara lebih berkesan.
“Jadi sewajarnya ada satu agenda besar kerajaan yang ada sekarang ataupun yang akan datang untuk menangani masalah harga barangan… dan saya tak fikir perkara ini boleh diatasi dalam satu jangka waktu pendek.
“Mungkin memerlukan tempoh masa yang panjang. Tapi sementara kita nak menghadapi jangka panjang, kita buat jangka pendek. Jadi ini saranan sayalah pada pihak pimpinan negara supaya memberi perhatian utama.
“Ini tak termasuk soal-soal lain seperti pendidikan, anak-anak pergi sekolah tanpa makan, tak ada sarapan pagi ataupun dalam bidang kesihatan. Jadi banyak isu yang patut difikirkan secara serius.
“Perikatan Nasional mengambil pendirian, ini masalah negara, masalah rakyat, masalah kita. Sedikit sebanyak kita harus tunjukkan komitmen kita untuk membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Sumber: Agenda Daily