Umum

PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

“Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

“Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

“LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

“Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

To Top