Umum

PN layak ketuai gabungan baru untuk tumbangkan BN

Melalui sistem pilihan raya “first past the post” (parti pertama meraih majoriti mudah) yang diguna pakai di negara ini, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Pun begitu, adalah penting untuk mencerna mesej-mesej tersirat yang disampaikan oleh pengundi Johor daripada perspektif sistem undi popular.

Statistik menunjukkan daripada 1,426,573 pengundi yang mengambil bahagian pada PRN itu, terdapat 826,820 pengundi (56.89%) menolak BN dan hanya 599,753 pengundi (43.11%) menyokong BN.

Jika undi parti penentang BN digabungkan di peringkat DUN pula, BN sebenarnya hanya menang di 21 dari 56 kerusi sahaja sekaligus tidak mampu membentuk kerajaan negeri.

Walaupun statitisik ini tidak diguna pakai oleh sistem “first past the post”, ia memberi isyarat jelas bahawa BN sebenarnya boleh ditumbangkan.

Dengan syarat, satu kerjasama baru parti penentang BN diwujudkan dengan segera kerana Umno dan BN nampaknya semakin gelojoh untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Keghairahan Umno dan BN itu tidak pelik kerana mereka sangat yakin boleh memenangi PRU15 selagi parti lawannya gagal membuang ego masing-masing untuk membentuk kerjasama.

Sedangkan, keputusan PRU14 telah membuktikan penguasaan BN boleh diranapkan dalam sekelip mata apabila parti lawannya bersatu.

Persoalannya, parti mana yang sepatutnya mengetuai kerjasama baru itu? Adakah Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Jawapan jujur kepada persoalan itu boleh diperolehi daripada statistik undi popular PRN Johor yang menunjukkan PN menjadi penyumbang terbanyak iaitu 24% (334,457 undi) diikuti PH sebanyak 20.5% (284,969 undi) dan PKR pula sekadar 5.9% (82,556 undi).

Data-data ini pastinya boleh menjadi asas kepada rundingan untuk membentuk kerjasama yang diketuai oleh PN menjelang PRU15.

Namun, untuk merealisasikannya, DAP dan Amanah perlu meneruskan formula di Johor iaitu bersama-sama dalam PH tanpa penglibatan PKR.

PKR pula perlu berlapang dada menjalinkan kerjasama dengan PN dan ia lebih mudah dijayakan kerana tidak melibatkan Amanah dan DAP yang tidak dapat diterima PAS.

Kerenggangan hubungan PAS dan PKR juga sebenarnya tidak parah kerana ia bukan melibatkan dasar parti seperti perjuangan PAS untuk menegakkan hudud.

Sebaliknya ia berpunca daripada perbezaan pendapat akibat tindakan PKR mencetuskan Langkah Kajang pada 2014.

Serangan PKR terhadap PAS menggunakan “modal” hudud hanya berlaku selepas itu.

Soal pertelagahan PAS dan DAP juga tidak menjadi rumit lagi kerana kedua-dua parti ini bertanding di kerusi yang berbeza demografinya.

Justeru, satu kerjasama di bawah khemah besar penentang BN melibatkan PN+PKR+PH yang diketuai PN perlu dibentuk bagi mencapai cita-cita yang sama iaitu menewaskan BN.

Kepemimpinan parti-parti ini perlu mengenepikan ego masing-masing demi menterjemahkan aspirasi rakyat yang telah menolak BN pada PRU14 kerana mahu melihat pemimpin yang menyeleweng dikenakan hukuman setimpal.

Semua parti yang menentang BN tidak boleh mengkhianati aspirasi itu kerana kegagalan mereka bersatu akan menyebabkan BN menang besar dan pemimpinnya yang sudah didakwa dah dijatuhi hukuman oleh mahkamah akan lolos.

Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top