Umum

PN pilih Muhyiddin calon PM jika menang PRU-15

Lima parti komponen Perikatan Nasional (PN) hari ini (27 Ogos 2022) memilih Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (PM) sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sehubungan itu, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengajak 1,300 delegasi yang hadir pada Konvensyen PN 2022 di Serdang, untuk terus bekerjasama bagi meletakkan Muhyiddin sebagai PM sekali lagi.

“Mari kita bergabung kekuatan, daripada menteri hingga semua ahli parti gabungan untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh,” katanya berucap pada konvensyen itu.

Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku Edward Linggu menyokong kenyataan Dominic tetapi meminta Muhyiddin menyediakan lebih banyak peruntukan kepada Sabah bagi melaksanakan projek infrastruktur sebagai salah satu daripada manifesto PN.

“Kita perlu memastikan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan sekali lagi dan PN mesti memerintah negara tanpa gangguan,” katanya pada majlis sama.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berucap selepas itu, mengajak parti komponen PN memastikan gabungan berkenaan menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk membuang label didakwa kerajaan ‘pintu belakang’ sebelum ini.

Pada masa sama, beliau berkata langkah PN mengambil alih Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dilakukan secara demokrasi.

“Tidak ada pintu belakang. Demokrasi melalui sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini adalah demokrasi.

“Kita mengambil untuk memperkukuhkan kerajaan, dan menjadikan Muhyiddin sebagai PM,” katanya dalam ucapan pada konvensyen itu.

Dalam ucapan dasarnya pagi tadi, yakin bahawa UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) – parti sekutu yang membentuk kerajaan PN sebelum ini – akan kalah pada PRU akan datang.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top