Umum

PN terima indikasi positif rakyat mahu tukar kerajaan

Berbaki sehari lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Johor Sabtu ini, Perikatan Nasional menerima indikasi positif daripada rakyat khususnya bangsa Johor yang mahu menukar kerajaan negeri untuk menjamin kestabilan.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lawatan serta kunjungan beliau ke setiap zon dan kawasan bersama calon-calon PN mendapati sokongan padu diterima PN daripada pengundi di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Segala ikrar yang kita persembahkan kepada bangsa Johor jelas menyentuh isu asas utama membabitkan kelangsungan hidup mereka serta keperluan asas rakyat dan saya rasa penawaran kami (ikrar PN) menunjukkan keberkesanan meyakinkan hati pengundi.

“Dengan berbaki hanya kurang 48 jam sahaja lagi kita meneruskan kempen secara proaktif menerusi jentera kerja kami dan saya percaya segalanya membawa hasil yang diharapkan kepada PN pada hari mengundi 12 Mac ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau terdahulu hadir ke Majlis Dialog Pemuda Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Dewan Tok Mior, Endau di sini yang turut disertai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad.

Dalam dialog berkenaan, beliau menyentuh isu rumah mampu milik untuk golongan muda di Mersing yang masih menjadi masalah utama dan berjanji ia akan ditangani jika PN diberi mandat untuk mentadbir kerajaan negeri.

Dalam pada itu Presiden Bersatu itu juga menyatakan keyakinan sentimen pengundi yang diperolehi itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi tetap pada Sabtu ini.

“Walaupun wujud persaingan sengit secara keseluruhannya, beliau percaya pecutan akhir kempen kami secara agresif dalam tempoh singkat ini mampu menambah sokongan pengundi di Mersing kepada PN,” ujarnya.-MalaysiaGazette

PALING POPULAR

To Top