Umum

Polis akan rakam keterangan Siti Bainun siasat kematian Baby Adam

Polis akan memanggil Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi membantu siasatan inkuiri melibatkan kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis telah membuka kertas inkuiri untuk menentukan sama ada wujud elemen jenayah dalam kematian bayi tersebut.

“Sepatutnya Siti Bainun telah dirakam keterangan beberapa hari lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana wanita terbabit sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Jalan Duta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat di Balai Trafik Kuala Lumpur, pada Khamis.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan seorang individu yang dikenali sebagai Cikgu Fadli bagi membantu siasatan berkaitan kes bayi tersebut.

“Individu berkenaan telah mendakwa kononnya tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas mayat bayi tersebut.

“Seharusnya individu berkenaan merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, dakwaan yang dikeluarkannya sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan awam dan membawa kepada tanggapan kononnya polis tidak melakukan siasatan yang sebaiknya dalam kematian mangsa,” katanya.

Siasatan polis sebelum ini mendapati kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.

Pada Selasa, media melaporkan penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur yang menunjukkan sebab sebenar kematiannya disebabkan pneumonia (radang paru-paru).

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top