Umum

Polis tumpas sindiket pelacuran, tahan tiga wanita warga asing

Polis menumpaskan satu sindiket pelacuran susulan penahanan tiga wanita warga asing dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Tunku Hosna, Jalan Tanjung Bendahara, pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9.45 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah menahan dua wanita warga Vietnam berusia 35 dan 42 tahun dipercayai bekerja sebagai pelacur.

Beliau berkata, turut ditahan, seorang wanita warga China berusia 56 tahun yang disyaki penjaga di premis itu.

“Modus operandi mereka ialah menawarkan iklan pelacuran di aplikasi WhatsApp sebelum pelanggan datang ke premis dan pelacur yang ditempah menunggu di bilik untuk memberikan perkhidmatan.

“Turut ditahan untuk siasatan lanjut dua lelaki warga tempatan yang disyaki pelanggan.

“Polis merampas beberapa unit telefon bimbit disyaki digunakan untuk berurus niaga berkaitan aktiviti pelacuran selain buku nota yang di dalamnya mengandungi catatan angka yang disyaki untuk merekodkan urus niaga berkaitan aktiviti pelacuran,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ahmad Shukri berkata, selain itu beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan berkaitan aktiviti pelacuran turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Selain itu pemilik premis turut dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta 342 kerana telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

PALING POPULAR

To Top