Umum

PRN Johor: Proses undi awal di Batalion 6, PGA lancar

Proses pengundian awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning dan DUN Bentayan berjalan lancar dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Proses pengundian itu dilakukan di Dewan Serbaguna Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, yang bermula jam 8 pagi tadi hingga 5 petang bagi DUN Bukit Naning melibatkan 964 anggota dan pasangan.

Sementara itu, bagi DUN Bentayan pula hingga 2 petang membabitkan 12 pegawai dan anggota polis.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN Bukit Naning, Ahmad Nazri Rebu berkata, daripada 964 yang layak menunaikan tanggungjawab pada hari ini, 95 daripada mereka sudah mengundi secara pos.

“Setakat jam 9.45 pagi ini proses pengundian awal yang dijalankan di dewan ini berjalan lancar yang mana daripada tiga saluran yang disediakan, dua daripadanya adalah pengundian bagi kerusi DUN Bukit Naning.

“Hari ini kita jangkakan 869 pegawai, anggota dan pasangan akan datang mengundi kerana 95 daripada mereka sudah melakukan pengundian secara pos,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, dia mengharapkan proses pengundian berjalan lancar hingga waktu terakhir jam 5 petang nanti selain menyasarkan peratus keluar mengundi 100 peratus.

“Saya syorkan pengundi yang layak datang mengikut waktu yang ditetapkan dan mengikut semua SOP yang telah digariskan.

“Di sini kita juga ada kakitangan kesihatan yang mana saringan awal akan dibuat termasuk mana-mana individu yang bergejala akan melakukan pengundian awal di khemas khas yang disediakan,” tambahnya.

Tinjauan Astro AWANI di sini juga mendapati proses pengundian yang bermula tepat jam 8 pagi berjalan sedikit perlahan sebelum pegawai, anggota dan pasangan masing-masing mula berpusu-pusu datang kira-kira sejam kemudian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN.

PRN diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top