Politik

PRN Melaka: ‘Kalau saya bodoh dan jahat, Johor akan hadapi PRN macam Melaka’ – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mempunyai pilihan untuk menjadikan Johor senasib dengan Melaka, iaitu menghadapi pilihan raya di kala negara masih berhadapan dengan COVID-19.

Namun, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau enggan bersikap ‘bodoh dan jahat’, semata-mata demi kepentingan politik, tanpa menghiraukan keselamatan dan nyawa rakyat.

Katanya lagi, beliau boleh membalas dendam, susulan krisis politik yang mengakibatkan Menteri Besar Johor dan Perak, Datuk Osman Sapian dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, terpaksa melepaskan jawatan itu kepada UMNO.

“Apa berlaku di Perak? Peja (Ahmad Faizal) dijatuhkan… walau ada persefahaman UMNO di bawah Datuk Seri Zahid (Hamidi), biar Peja kekal jadi Menteri Besar. Tapi akhirnya Peja ditumbangkan, dan UMNO ambil alih.

“Melaka dahulu UMNO janji awal nak serah pada Bersatu, tapi tak apalah… Saya boleh bertindak sama di Johor… (hanya) perlu dua ADUN Johor keluar, dan tumbanglah kerajaan negeri.

“Tetapi saya fikir balik dah la Melaka jadi macam itu, takkan kita nak macam ni. Takkan kita nak jadi bodoh dan jahat. Tapi untuk pelihara maslahat, maka kita tak lakukan sebagaimana UMNO lakukan terhadap negeri yang saya sebutkan tadi,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Pentas PRN Melaka Perikatan Nasional, yang disiarkan secara maya malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, landskap politik negara sudah berubah dengan rakyat lebih berpengetahuan, dan mereka mahukan Malaysia terbentuk atas dasar yang lebih adil dan saksama.

“Sebab itu jadi teras kepada dasar Perikatan Nasional – ini kepada orang Melaka. Teras dan pendirian PN di Melaka, untuk mendukung prinsip saya sebut tadi.

“Kita akan tentang penyalahgunaan kuasa, tentang rasuah, tak akan biarkan ia bermaharajalela. Kita akan tentukan layanan adil dan saksama, tak ada satu kelompok akan tertinggal dan dibiarkan. Ini jaminan kerajaan Perikatan Nasional, dan kita nak jamin sama untuk Melaka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kesemua 28 calon PN akan menandatangani surat akuan dalam masa terdekat bagi menzahirkan komitmen terhadap perjuangan menentang rasuah.

Selain itu, beliau berkata, manifesto PN yang akan dibentangkan dalam masa terdekat, akan menggariskan dasar yang bersesuaian, bagi memastikan Melaka akan menjadi lebih baik.

PALING POPULAR

To Top