Umum

Produk Gardenia naik 10 sen hingga 50 sen bermula 1 September

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) mengesahkan beberapa produk keluarannya akan dijual pada harga baharu membabitkan kenaikan antara 10 sen hingga 50 sen bermula 1 September ini.

Pihak Pengurusan Gardenia, berkata perubahan harga itu membabitkan Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3; Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4; rangkaian Gardenia Toast’em daripada RM5 kepada RM5.50; Gardenia Twiggies daripada RM1.80 kepada RM2; Gardenia Waffles daripada RM1.40 kepada RM1.50 dan Roti Krim Gardenia daripada RM1 kepada RM1.10.

“Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak tujuh peratus atau 20 sen, berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

“Bagaimanapun, roti Gardenia Bonanza Keluarga masih dikekalkan pada harga RM2.75 sebuku, harga mampu milik untuk roti putih dengan berat 500 gram,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Gardenia juga memaklumkan, Roti Bonanza Keluarga lebih menjimatkan dan sesuai untuk keluarga lebih besar.

Sebagai perbandingan untuk setiap 100g, katanya roti itu 55 sen lebih murah berbanding Gardenia Original Classic (RM0.75).

Beberapa hari ini, tular satu surat mengenai perubahan harga iaitu pemakluman daripada Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia KL, Koh Chin Huat, dalam suratnya kepada peruncit yang menyenaraikan 53 produknya akan menggunakan harga baharu berkuat kuasa Khamis minggu depan.

Gardenia menjelaskan kenaikan itu kerana pihaknya seperti perniagaan lain, berhadapan cabaran pasca COVID-19 termasuk pematuhan kepada keperluan keselamatan kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, katanya, bencana banjir melanda Shah Alam pada Disember tahun lalu, serta krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Mei lalu memberikan kesan ketara kepada kos operasi.

“Dalam beberapa bulan ini, Gardenia terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi yang mengalami kenaikan 25 peratus, serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus) tepung gandum, gluten, susu skim, penggalak roti dan bahan-bahan pembungkusan roti.

“Selain itu, terdapat faktor luar kawalan kami ini, pelaksanaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan, turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia.

“Hasil semakan dan analisa terperinci, serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia menyemak semula harga runcit bagi produknya berkuat kuasa 1 September,” katanya.

Gardenia juga berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan bekalan optimum dan harga berpatutan untuk semua produk.

Sebelum ini, Gardenia sudah menaikkan harganya pada 1 Disember 2021 membabitkan kenaikan 30 sen untuk Original Classic 400g dan 45 sen untuk Original Classic Jumbo 600g.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top