Umum

PRU musim banjir perlu dielakkan, kata bomba

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada fasa Monsun Timur Laut yang dikaitkan dengan musim banjir menyebabkan beban anggota penguat kuasa semakin bertambah dalam melancarkan operasi ketika bencana itu.

Susulan itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berharap PRU-15 ketika musim banjir perlu dielakkan kerana ia boleh menambah risiko yang perlu dihadapi dalam usaha menyelamat penduduk terbabit bencana berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika PRU-15 tetap dilaksanakan pada musim banjir, JBPM meminta supaya penyelarasan membabitkan agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dilakukan bagi membantu melancarkan sebarang operasi.

Katanya, perancangan teliti khususnya dalam aspek memobilasi pengundi ke tempat pengundian perlu dibuat bagi mengelak kejadian tidak diingini dan anggota JBPM bersedia membantu urusan itu jika diminta berbuat demikian.

“JBPM mempunyai 14,829 anggota membabitkan pegawai sepenuh masa dan pegawai bomba bantuan, 403 unit kenderaan marin, 127 unit kenderaan angkut berat dan 537 unit kenderaan angkut ringan yang akan digunakan bagi berdepan operasi banjir.

“Paling terbaik ialah jangan menambah risiko yang ada dengan mengadakan PRU-15 ketika fasa monsun ini. Fokus utama kami ialah menyelamatkan mangsa banjir ke tempat selamat dan jika pada masa sama, mereka ini perlu bergerak pula untuk mengundi, ia meningkatkan risiko keselamatan.

“Kita harus memahami juga beban tugas anggota bomba yang bertambah jika diminta memobilasi pengundi termasuk dalam aspek syif dan beban cuti,” katanya menurut BH.

Untuk rekod, MetMalaysia meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia Hisham Mohd Anip berkata walaupun kebiasaannya bencana banjir berlaku semasa musim monsun timur laur sekitar November dan Disember tetapi sekarang ini pun sudah banyak tempat dilanda bencana banjir.

Katanya mengambil kira faktor tersebut boleh dikatakan ia bukan waktu yang sesuai sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mahu diadakan pada masa terdekat ini.

“Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir. Ada (kejadian) banjir di Perak dan Johor. Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.

Pelaksanaan PRU-15 ketika fasa monsun ‘hampir’ pasti apatah lagi pembubaran Parlimen dijangka dibuat dalam masa terdekat ini.

Mengulas lanjut Nor Hisham berkata, JBPM juga akan menggerakkan Team Gerak Cepat (TGC) yang akan dilancarkan pada bulan ini untuk membantu memastikan operasi menyelamat semua mangsa banjir dapat dilakukan segera.

Katanya, keanggotaan TGC yang ada di seluruh negara akan dikerah ke lokasi banjir memerlukan dan kehadiran mereka sangat diperlukan jika PRU-15 berlaku ketika musim banjir ini.

“Memang tugas utama kita bagi memindahkan dan menyelamatkan mangsa banjir ke kawasan selamat, namun jika SPR meminta JBPM membantu memobilasi pengundi ke pusat pengundian, penambahan tugas itu perlu digalas mereka.

“Jadi, kita sudah bersiap siaga jika kerajaan meminta anggota bomba turut menggalas tanggungjawab membantu pengundi. Kita sudah nampak bayangan itu dan gerak kerja sudah disusun, hanya menanti arahan tambahan saja,” katanya.

Nor Hisham berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan penyelarasan antara agensi belum dilaksanakan, malah SPR juga belum menghubungi JBPM bagi mendapatkan data berhubung kekuatan logistik sekiranya PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top