Buletin

Rakaman suara jadi bukti Rosmah campuri urusan negara, kata pihak pendakwaan

Suara dalam rakaman audio yang didakwa perbualan antara Rosmah Mansor dengan suaminya Najib Razak mengenai 1MDB membawa kepada satu kesimpulan yang tidak dapat disangkal lagi bahawa dia mencampuri urusan kerajaan, kata pihak pendakwaan.

Dalam hujahan bertulis yang difailkan pada akhir kes pembelaan dalam perbicaraan rasuah Rosmah yang dikaitkan dengan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion menyebut pelantikan pendakwa raya kanan Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 adalah satu contoh.

“Tertuduh (Rosmah) juga melibatkan dirinya dalam hal ehwal luar negara,” katanya merujuk kepada menyelesaikan pertikaian dengan orang Arab, bukan meneruskannya kepada timbang tara.

Dalam hujahan yang difailkan minggu lalu seperti dilihat FMT, pihak pendakwaan berkata, Rosmah juga memiliki personaliti yang mendominasi, jauh berbeza daripada sifat kerdil yang cuba digambarkannya.

“Rakaman itu adalah bukti sifat tertuduh, iaitu kecenderungannya untuk campur tangan dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan peranannya sebagai isteri,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas pada Dis, Rosmah menolak kandungan rakaman itu dengan menyifatkannya sebagai “merepek”.

Dalam kenyataan pembukaan pendakwaan, pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram berkata, Rosmah, walaupun tidak memegang jawatan rasmi, mempunyai pengaruh yang besar kerana sifatnya yang sombong.

Sri Ram berkata, dia meletakkan dirinya dalam kedudukan di mana dia mampu mempengaruhi keputusan dalam sektor awam.

Rakaman itu, dengan Rosmah didengar memberitahu Najib, “Can I advise you something?” (Boleh saya nasihatkan sesuatu?) sebelum bekas Perdana Menteri itu memberitahu isterinya itu bahawa beliau perlu masuk ke dalam kereta dahulu telah dikemukakan sebagai keterangan.

Pihak pendakwaan juga berkata, satu akibat kegagalan Rosmah memanggil Najib sebagai saksi “adalah semua keterangan yang dia berikan mengenai apa yang Najib beritahunya adalah khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai keterangan”.

“Keputusan tertuduh untuk tidak memanggilnya (Najib) menyebabkan satu jurang yang serius dalam kes pembelaan,” katanya.

Ia berkata, testimoni bekas pegawai khas kepada Najib, Siti Azizah Sheikh Abod hanya mengukuhkan lagi kes pendakwaan.

Pihak pembelaan katanya, tidak membuatkan Siti Azizah memberi keterangan bahawa suara wanita itu bukan suara Rosmah.

“Secara sedar, pembelaan mengelak daripada mendapatkan maklumat itu daripadanya.

“Selain menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketulenan P36 (rakaman audio), ia akan menimbulkan keraguan serius terhadap bukti PW5 dan PW 21,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dan bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, yang secara positif mengecam suara itu sebagai suara tertuduh.

Ia berkata, serangan Siti Azizah terhadap kredibiliti Rizal hanya “sia-sia”.

Rosmah, 70, dituduh didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, menerusi Rizal, bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek solar sekolah di luar bandar Sarawak.

Dia juga didakwa atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta, di sini, pada 7 Sep 2017.

Sumber: FMT News

PALING POPULAR

To Top