Umum

Ramadan hampir dicemari ‘Thai Hot Guy’

BULAN keberkatan yang paling dinanti-nanti akhirnya tiba apabila seluruh umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadah puasa hari ini.

Selain solat sunat terawih, Ramadan pastinya meriah dengan aktiviti sedekah, berzikir, membaca al-Quran, mendengar kuliah agama dan berdoa.

Kemeriahannya sudah mula dirasai, apabila ruangan saf di masjid dipenuhi jemaah bagi menunaikan solat sunat tarawih yang pertama bagi tahun 1444 Hijrah.

Di ibu negara misalnya, lebih 1,000 umat Islam pelbagai lapisan umur membanjiri Masjid Negara bagi solat tarawih pada malam ini.

Setiap kali Ramadan juga, juadah tradisi iaitu bubur lambuk turut ditunggu-tunggu sebagai juadah berbuka puasa.

Juadah istimewa yang biasa didapati setiap kali puasa itu biasanya diedarkan secara percuma.

Selain umat Islam, kaum lain termasuk pelancong asing turut menggemarinya kerana rasanya yang enak, unik dan mengenyangkan.

Keterujaan juga dapat dilihat dalam industri perhotelan, di mana ‘lubuk rezeki’ buat mereka pada tahun ini selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Lampu hiasan berupa ketupat, bulan dan bintang digantung di lobi hotel, manakala iklan pakej berbuka menghiasi laman sosial masing-masing termasuk di dada akhbar.

Kini pengusaha industri itu rata-rata sudah bersedia untuk menerima semula kunjungan orang ramai yang hendak berbuka puasa dengan pelbagai pakej ditawarkan.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan menyambut Ramadan, timbul pula kontroversi susulan penganjuran acara pembukaan bar menampilkan kumpulan ‘Thai Hot Guy’ yang disifatkan tidak sesuai diadakan di negara seperti Malaysia.

Penganjuran itu yang sepatutnya berlangsung pada 30 Mac depan, dilihat boleh mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan.

Ini kerana program itu dilihat ada unsur-unsur hiburan yang melibatkan aktiviti lesbian, gay, dwiseks dan transgender (LGBT).

Malah gambar infografik poster yang dipaparkan menunjukkan sekumpulan lelaki yang memakai pakaian wanita seksi.

Berikutan itu, program aktiviti hiburan berkenaan telah dibatalkan ekoran amaran keras daripada pihak polis dan bantahan pelbagai pihak.

Kesimpulannya, pihak terbabit tidak wajar untuk cuba mencabar kewibawaan sesebuah negara terutama melibatkan isu-isu sensitiviti agama.

Mereka seharusnya lebih peka dengan sensitiviti negara, bukan semata-mata demi keuntungan dengan menggunakan ‘subjek’ yang boleh meruntuhkan akhlak.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top