Umum

Ramai mahu bantu MP PN setelah PH-BN enggan beri peruntukan

Banyak pihak yang mahu memberi bantuan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) setelah kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) enggan memberi peruntukan kebajikan rakyat menerusi pusat khidmat wakil rakyat.

Ramai yang bersimpati kerana mereka tahu jika tiada langsung peruntukan untuk rakyat disalurkan melalui pejabat Ahli Parlimen, sukar untuk kami memberikan khidmat yang paling optimum, kata Ahli Parlimen PN Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Apabila kerajaan campuran PH-BN menyatakan pendirian bahawa tiada sebarang peruntukan untuk kebajikan rakyat, termasuk untuk pusat khidmat, akan disalurkan melalui Ahli Parlimen Perikatan Nasional, ramai yang bersimpati.

“Sebab itu ada sahabat-sahabat bertanya kepada saya bagaimana jika mereka ingin membantu Pusat Khidmat dalam membantu warga Putrajaya.

“Saya amat mengalu-alukan sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada sahabat-sahabat sekalian, sama ada orang perseorangan atau syarikat, kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya. Sumbangan ini akan digunakan sebaiknya untuk manfaat warga Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (17 Mac 2023).

Sehubungan itu, Radzi berkata mana-mana individu dan syarikat yang berhasrat untuk membantu dan menyumbang dalam bentuk dana, bolehlah disalurkan melalui nombor akaun yang tertera di dalam poster yang disiarkan dalam laman Facebook beliau.

“Sekiranya sahabat-sahabat ingin berbincang tentang sumbangan dalam pelbagai bentuk yang lain, bolehlah menghubungi pasukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya.

“Saya amat hargai segala sumbangan kalian. Kita akan pastikan setiap sumbangan dimanafaatkan sebaiknya untuk seluruh warga Putrajaya,” katanya lagi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top