Umum

Ratusan peket minyak masak terapung akibat nahas kapal kargo – Kementerian Perdagangan Indonesia

Ratusan minyak masak peket yang ditemukan terapung di perairan Indonesia disebabkan oleh kemalangan kapal kargo pengangkut bahan keperluan asas, menurut Kementerian Perdagangan Indonesia (Kemendag).

Ketua Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Syailendra berkata kejadian itu yang melibatkan minyak masak peket berjenama “Fortune” berlaku di wilayah perairan Riau.

“Maklumat dari pengeluar minyak masak, itu kerana kemalangan kapal dan minyak masaknya jatuh ke laut,” kata Syailendra seperti dipetik portal berita detikcom hari ini.

Syailendra turut mengirimkan sebuah video kepada Detikcom mengenai nahas kapal kargo Aneka Maju yang terjadi di Selat Malaka, perairan Riau.

“Itu bukan di Laut Jawa, itu di Riau. Jadi memang kemalangan. Saat ini masih dicek (diperiksa),” katanya.

Sejak beberapa hari lepas, tular di media sosial mengenai penemuan ratusan peket minyak masak terapung di perairan Indonesia dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Kemalangan kapal kargo sering terjadi di perairan itu disebabkan faktor cuaca dan teknikal.

Pada 5 Mei lepas, empat orang maut apabila sebuah bot laju merempuh bot kayu yang sarat dengan barang keperluan asas di Sungai Piring, Indragiri Hilir, Riau akibat kesukaran melihat kapal lain ketika belayar pada waktu malam.

Pada 10 November 2021, kapal kargo pengangkut bahan keperluan asas tenggelam di Perairan Karimun, Riau disebabkan cuaca ekstrem.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top