Seawal 8 pagi lagi penyokong Muhyiddin Yassin dari segenap Semenanjung menunggu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hari presiden Bersatu itu bertemu pegawai badan anti-rasuah itu.
Menjelang tengah hari lebih 500 orang menunjuk perasaan sambil melaungkan “Lawan Anwar” dan “Lawan Kezaliman”, slogan yang dicipta untuk memberi gambaran bahawa siasatan atau pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu ketika ini adalah pendakwaan politik.
Beberapa penunjuk perasaan memakai kemeja T memaparkan wajah bekas perdana menteri itu, yang digelar “Abah” ketika memegang tampuk kerajaan.
“Satu Malaysia panggil dia ‘Abah’ … Kalau abah kita kena tangkap, apa perasaan kita?” kata Sheikh Mohamad Hasan Mohd Ali, 41, seorang penyokong dari Terengganu
Beliau serta beberapa penyokong lain yang ditemui percaya dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin dengan amalan rasuah sebagai fitnah, atau mempunyai kaitan dengan PRN di enam negeri yang akan berlaku tahun ini.
“Zaman Covid-19 terasa dia banyak tolong masyarakat,” kata Sabarudin Wahab, 51, dari Selayang pula. “Saya rasa tak sempat nak ‘sakau’ ke apa.”
Terdahulu, Muhyiddin tiba di SPRM dipercayai berkaitan siasatan badan anti-rasuah itu berhubung program Jana Wibawa, di sebalik ura-ura suatu tangkapan akan berlaku hari ini, menurut Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, yang baharu dilantik menggantikan Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta, membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Wan Saiful mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Pendakwaan itu menyusuli pembekuan akaun milik Bersatu, untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.
Sebelum ini, Bendahari Agung Bersatu, Salleh Bajuri ditahan dua hari atas kehendak siasatan ketika itu.
Sumber: FMT