Umum

Rayuan Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman didengar 15 Mac

Rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu, akan didengar 15 Mac ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah berkata hakim baharu itu ialah Datuk Ahmad Bache, yang akan menggantikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan. Hakim Ahmad merupakan hakim yang mengendalikan kes-kes sivil di Mahkamah Tinggi di sini.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan Peter di hadapan Hakim Sequerah.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagaimanapun, presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda berkenaan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top